KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir ke Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Tentera Darat Malaysia (TDM) Divisyen 1 Infantri Malaysia di Masjid Solahuddin Al-Ayubbi, Kem Penrissen hari ini.
Ia merupakan aktiviti tahunan bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara warga TDM dengan pemimpin negeri serta masyarakat sempena Ramadan.
Ketibaan Premier Sarawak sekitar 6.15 petang disambut Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Khairul Anuar Abdul Aziz dan Pegawai-Pegawai Kanan.
Abang Johari menyempurnakan acara penyampaian sumbangan hamper dan wang tunai kepada lima penerima dari kalangan anggota tentera dan anak-anak yang menghidap penyakit kronik.
Ia disusuli dengan lawatan ke replika Markas Taktikal N.26 Gedong.
Selesai iftar dan solat Maghrib, majlis diteruskan dengan solat Isyak dan Tarawih secara berjemaah sebelum menikmati jamuan moreh.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee.
