Stesen minyak dibina di Kabong tahun ini

KABONG: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) meluluskan peruntukan berjumlah RM1.4 juta bagi dua projek pembangunan di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, projek itu ialah pembinaan sebuah stesen minyak dengan peruntukan RM1.1 juta.

Projak kedua ialah naik taraf Yellow Cafe Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kabong berjumlah RM300,000.

“Kedua-dua projek pembangunan tersebut akan mula dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.

Beliau kata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PNK Kabong Kali Ke-45 di Dewan Balai Polis Kabong, di sini, hari ini.

Chee Kadir berkata, projek terbabit dirancang dan dicadang PNK Kabong bagi membangunkan sosio ekonomi nelayan di kawasan ini.

Turut hadir Pegawai Wilayah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Wilayah IV Betong, Nurhaizawati Samsimon, Pengurus PNK Kabong, Sahariya Tahot dan Pengerusi PNK Kabong merangkap Lembaga Pengarah PENESA, Darmizan Daud.