Konsep zakat, sedekah perlu diurus dengan bertanggungjawab – Fadillah

KUCHING: Konsep zakat dan sedekah dalam Islam bukan sekadar kewajipan, tetapi amanah yang perlu diuruskan dengan penuh tanggungjawab, jelas Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, semua pihak harus memainkan peranan dengan memperkukuhkan budaya kebajikan dan membantu golongan memerlukan demi kesejahteraan bersama.

“Harta yang kita miliki bukan sepenuhnya hak kita, tetapi ada bahagian untuk mereka yang memerlukan.

“Oleh itu, kita perlu memainkan peranan dalam membantu golongan kurang bernasib baik,” katanya semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Asnaf anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Muslim Gita Matang di Masjid At-Taqwa hari ini.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu turut menekankan kepentingan pengurusan dana kebajikan secara berhemah agar manfaatnya dapat disalurkan secara berterusan kepada yang memerlukan.

Jelasnya, Lembaga Amanah Kebajikan Muslim Gita Matang sebagai pentadbir dana kebajikan memperoleh sumber pendapatan bukan sahaja daripada sumbangan kerajaan dan individu tetapi juga hasil sewaan dewan serta aset lain.

“Oleh itu, saya menggesa semua pihak terus menyokong usaha lembaga ini agar lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” tambahnya.

Dalam majlis itu, beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyampaikan sumbangan kepada seramai 320 asnaf dari lapan kampung.

Turut hadir Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzruddin Abdul Rahman, Pengerusi Masjid At-Taqwa Kampung Pinang Jawa, Kamaluddin Sarkawi, Penghulu Kampung Pinang Jawa, Satira Hasema Arrifin.