KUCHING: Dalam suasana penuh kehangatan Ramadan, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi memeriahkan majlis berbuka puasa bersama pengamal media di Astana Negeri Sarawak, malam tadi.
Antara agensi media yang hadir Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sarawak, TVS, Suara Sarawak, dan New Sarawak Tribune.
Majlis ini bertujuan mengeratkan hubungan antara Astana Negeri Sarawak dan pengamal media tempatan yang berperanan penting dalam menyampaikan maklumat yang sahih kepada masyarakat.
Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran pesara dan veteran industri media yang telah memberikan sumbangan besar dalam dunia kewartawanan, sekaligus mengeratkan lagi hubungan antara generasi lama dan baharu.
Usai berbuka puasa, TYT bersama para hadirin menunaikan solat Maghrib berjemaah di Surau Astana Negeri Sarawak, diikuti dengan solat Isyak dan Tarawih.
TYT dan Toh Puan juga tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra dengan pengamal media serta tetamu yang hadir, merakam kenangan indah bersama dalam sesi bergambar.
Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, serta isteri, Datin Amar Baduyah Bujang; Pengerusi Sarawak Media Group, Datuk Norhyati Ismail; serta tetamu jemputan yang lain.