KOTA SAMARAHAN: Pelajar Sarawak yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disaran mendaftar dengan aplikasi e-dompet S Pay Global.
Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, aplikasi tersebut mungkin digunakan untuk menyalurkan bantuan RM1,200 kepada pelajar Sarawak.
Katanya, dengan mendaftar awal akan memudahkan pelajar menerima bantuan tersebut sebaik sahaja dilancarkan dalam masa terdekat.
“Saya menggesa pelajar-pelajar untuk mendaftar dengan S Pay Global kerana saya yakin sumbangan tersebut disalurkan melalui aplikasi tersebut,” katanya selepas Program Penyerahan Sumbangan Food Bank Dan Dapur Hal Ehwal Pelajar (HEP) di Masjid Al-Qurawiyyin, UiTM Cawangan Sarawak hari ini.
Tambahnya, pelajar Sarawak yang menuntut di luar negeri turut disaran menggunakan S Pay Global memandangkan e-dompet tersebut diguna secara meluas di Malaysia.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu turut menyeru agar pelajar yang ingin pulang ke kampung untuk mengenalpasti inisiatif-inisiatif yang disediakan oleh kerajaan Sarawak.
“Kita sedia maklum, inisiatif kita iaitu Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (IGPS) di mana peruntukan tersebut boleh digunakan untuk meringankan beban untuk balik membeli tiket kapal terbang tetapi dengan syarat hanya boleh memohon dua kali setahun,” jelasnya.
Tambahnya lagi, permohonan untuk IGPS ini boleh dilakukan menggunakan aplikasi Yayasan Sarawak.
Pada program itu, Fazzrudin telah menyampaikan sumbangan geran daripada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebanyak RM20,000 untuk Sumbangan Foodbank dan Dapur HEP.
Sumbangan Foodbank dan Dapur HEP ini telah dilaksanakan oleh UiTM Cawangan Sarawak bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk mengambil makanan keperluan bagi menyara diri.
