Ribuan kunjungi Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Stakan

SAMARAHAN: Seramai 70 penerima menerima geran bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N17 Stakan pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Datuk Hamzah Ibrahim di sini, hari ini.

Penerima terdiri daripada pelbagai institusi seperti masjid, surau, gereja, sekolah dan pertubuhan masyarakat membabitkan jumlah keseluruhan RM280,000.

Penyampaian geran itu dilakukan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepada 10 wakil penerima sebagai acara simbolik.

Antara penerima ialah Masjid Darul Ibadah Kampung Pangkalan Kuap, Surau Darul Al-Baqarah Skim Pembesaran Jawa Semenggok, St Francis Church Samarahan, AJK PIBG SMK Muara Tuang, SK Kampung Binyu Kuching, Persatuan Masyarakat Jalan Muara Tuang Kuching, JK Kelab Pejabat Daerah Samarahan (Pedasa), JKKK Kampung Bukit Berangan, Kelab Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum DUN N17 Stakan dan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak.

Geran itu bertujuan membantu institusi berkenaan menjalankan aktiviti tahunan dan sebagainya.

Sementara itu, lebih 5,000 orang mengunjungi rumah terbuka DUN Stakan yang bermula jam 10 pagi hingga 3 petang. Pengunjung disajikan dengan pelbagai makanan dan minuman serta dihiburkan dengan persembahan hiburan.