KOTA SAMARAHAN: Sarawak mempunyai pelan pembangunan serta model kewangan tersendiri untuk meneruskan projek besar tanpa terlalu bergantung kepada Kerajaan Persekutuan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini termasuk perancangan pembinaan Lapangan Terbang Tanjung Embang dan Pelabuhan Dalam Laut Kuching.
Katanya, dua projek mega itu bakal memberi impak terhadap pembangunan kawasan Kota Samarahan, Asajaya dan seluruh kawasan pesisir.
“Walaupun belum dibincang secara terperinci bersama Perdana Menteri, saya telah memaklumkan secara ringkas cadangan membangunkan pelabuhan dalam serta terminal gas di laut dan lapangan terbang baharu di Tanjung Embang.
“Kalau Kerajaan Persekutuan ingin membantu, kita terima dengan hati terbuka. Namun, perancangan kita akan tetap dilaksanakan berpandukan sumber dan strategi yang kita rancang sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang di Dewan Suarah Kota Samarahan hari ini.
Mengulas perkara lain, beliau berkata Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) akan menerima lebih banyak insentif bagi membiayai projek-projek mega yang strategik, memperkukuhkan komitmen kerajaan dalam memacu pembangunan infrastruktur di negeri ini.
Jelas Abang Johari, DBOS kini berfungsi sebagai pemangkin utama dalam menjayakan agenda pembangunan fizikal di negeri ini, khasnya melalui penggunaan dana sendiri tanpa terlalu bergantung kepada sumber Persekutuan.
Katanya, pendekatan Sarawak yang berani dan berdikari itu turut mendapat pengiktirafan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perdana Menteri sendiri memuji pendekatan kita yang menggunakan dana sendiri untuk membangunkan negeri, dan menyatakan bahawa Sarawak kini berada di landasan yang tepat dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Hadir sama Timbalan Premier, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang serta tetamu kenamaan lain.
