OKSHE akan diaktifkan semula – Premier

KUCHING: Pemulihan Rumah Batu di kawasan Masjid Bahagian Kuching menjadi fokus inisiatif Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) apabila ia diaktif semula kelak.

Ia dijelaskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sambil berkata, perancangan menghidupkan semula OKSHE sebagai langkah memperkukuhkan pemuliharaan kawasan bersejarah dan warisan budaya di bandar raya ini.

“Baru-baru ini, saya dijemput oleh waris Rumah Batu yang menyatakan hasrat untuk menyerahkan bangunan itu kepada amanah wakaf.

“Sekiranya ini menjadi kenyataan, Insya-Allah kita dapat mencantikkan lagi kawasan sekitar Masjid Bahagian,” katanya.

Kongsi beliau dalam ucapan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), di sini, malam tadi.

Tambahnya, pembangunan semula kawasan tersebut juga akan melengkapi projek pembangunan di Padang Pasir, tapak yang dirancang menjadi lokasi utama stesen Sistem Aliran Transit Autonomi (ART) pada masa hadapan.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari turut berkongsi mengenai beberapa projek infrastruktur yang sedang giat dilaksanakan.

Antaranya pembinaan Jambatan Bintangor dijangka siap pada April ini, serta pembangunan sambungan tebingan Sungai Sarawak dari Jambatan Bintangor ke Jambatan Satok yang berpotensi menjadi tebingan terpanjang di negara ini.

Turut hadir menyerikan majlis Ramah Tamah Aidilfitri DBKU ialah, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian serta isteri, Datin Amar Enn Ong Siok Ean; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri Datin Seri Zuraini Abdul Jabar; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri Datin Amar Baduyah Bujang, barisan timbalan-timbalan menteri serta tetamu kehormat yang lain.