KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Universiti Malaya (UM) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi menubuhkan Kursi Derma Kekal Premier Sarawak yang akan memberi fokus kepada empat tunjang utama dalam ekonomi baharu yang dipraktikkan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, empat tunjang tersebut ialah ekonomi hijau, ekonomi hidrogen, penjagaan kesihatan bioteknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Menerusi MoA ini, beliau berkata UM akan melancarkan siri syarahan tahunan bertajuk Kuliah Yang Amat Berhormat Premier Sarawak yang direka untuk menggalakkan wacana awam, pertukaran ilmu dan dialog dasar dalam bidang berkenaan.
“Kuliah ini akan memberi tumpuan kepada bidang-bidang penting dalam ekonomi baharu seperti ekonomi hijau, yang merangkumi perdagangan karbon dan kredit karbon — inisiatif penting yang bertujuan melindungi alam sekitar dan mengurangkan pencemaran serta menumpukan ekonomi hidrogen, termasuk bioenergi dan kuasa hidro, yang merupakan sumber tenaga bersih.
“Penjagaan kesihatan bioteknologi turut menjadi fokus dan sains digunakan untuk meningkatkan kesihatan, perubatan dan pencegahan penyakit.
“Kepentingan AI yang berpotensi menjadikan kerja lebih cekap dan pantas, namun memerlukan peraturan yang baik agar ia kekal adil dan selamat.
“Semua inisiatif ini selari dengan sokongan terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), yang memainkan peranan penting dalam usaha memerangi perubahan iklim,” katanya.
Beliau berkata demikian di dalam Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Kursi Derma Kekal Premier Sarawak antara Kerajaan Sarawak dan UM di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap
syarahan ini akan menghimpunkan bukan sahaja pembuat dasar dan pemimpin industri, tetapi juga komuniti akademik seperti universiti, penyelidik dan cendekiawan.
“Dalam jangka masa panjang, usaha ini akan memperkukuh kapasiti intelektual Sarawak, menyokong tadbir urus yang baik, dan mempersiapkan rakyat kita untuk memimpin dalam dunia yang pantas berubah,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol; Datuk Amar Jaul Samion; Penasihat Undang-Undang Sarawak Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid; Naib Canselor UM, Dato Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel.
