BETONG: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mahu menjadikan Betong sebagai sebuah bandar bersih, makmur, membangun dan pemimpin akar umbinya yang mesra rakyat.
Selain itu, katanya, beliau juga mahu potensi pelancongan di Betong dimanfaatkan sepenuhnya dan merancang membina sebuah bangunan baharu untuk Majlis Daerah Betong (MDB).
Rancangan dan strategi membangunkan bandar Betong itu diharap dapat dicapaikan dalam masa tiga tahun, katanya selepas menyaksikan majlis angkat sumpah pengerusi baharu dan 30 kaunselor Majis Daerah Betong (MDB) bagi penggal 2025 hingag 2028 di sini hari ini.
Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr. Richard Rapu dilantik sebagai pengerusi baharu MDB.
Dari segi kebersihan, beliau mahu menjadikan bandar Betong sebagai bandar paling bersih di Sarawak dan mengetengahkan kekayaan alam semula jadi, flora dan fauna, kebudayaan dan rumah panjang tradisional sebagai daya tarikan utama pelancongan.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, rancangan membangunkan replika kubu pahlawan legenda Rentap berharga RM16 juta di Bukit Sadok dijangka dimulakan tahun ini.
Cadangan membina bangunan baharu MDB telah dikemukakan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk diluluskan.
Hadir sama Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu, Datuk Mohd. Razi Sitam (Saribas), Razaili Gapur (Beting Maro), Mohd. Shafizan Kipli (Ahli Parlimen Batang Lupar) dan Residen Bahagian Betong, Richard Micheal Abunawas.
