KUCHING: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sarawak mencatatkan peningkatan 0.08 mata dengan Gred Purata Negeri (GPN) 4.84 berbanding 4.92 tahun 2023.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee berkata, pencapaian calon SPM tahun 2024 bagi Sarawak adalah lebih baik berbanding 2023.
“GPN tahun ini merupakan GPN terbaik sepanjang pelaksanaan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah diisyaratkan sebagai subjek wajib lulus SPM mulai 2013,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan peperiksaan SPM di sini, hari ini.
Beliau menzahirkan syabas dan tahniah kepada anak-anak Sarawak yang mempamerkan pencapaian dan keputusan yang membanggakan dalam peperiksaan SPM 2024.
“Saya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi didikan, bimbingan, tunjuk ajar dan sokongan yang tidak terhingga kepada calon yang telah sempurna melengkapkan peperiksaan SPM tahun 2024,” katanya.
