KUCHING: Sarawak merekodkan peningkatan prestasi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah berkata, Bahasa Inggeris dengan kenaikan merupakan tertinggi sebanyak 0.18 mata bagi kluster mata pelajaran teras.
“Malah, mata pelajaran Sains dan Matematik turut mempamerkan peningkatan prestasi sebanyak 0.14 dan 0.05 mata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024
bagi Sarawak, di sini, hari ini.
Roland Sagah berkata, selain itu bagi mata pelajaran elektif Sains, Teknologi, Kejuruteraan Matematik (STEM) iaitu Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan juga merekodkan peningkatan.
“Mata pelajaran Kimia mempamerkan peningkatan tertinggi dengan 0.40 mata,”tambahnya.
Di samping itu, pihaknya berbangga apabila 86 orang daripada 127 orang calon
berkeperluan pendidikan khas (67.72 peratus) layak memperoleh sijil SPM tahun 2024 dan ini peningkatan sebanyak 1.87 peratus berbanding SPM 2023.
