Empat projek tambahan DUN Kalaka dilulus

KUCHING: Sebanyak empat projek tambahan diluluskan Jawatankuasa Pemandu Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) untuk memberikan manfaat kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada BDDA dan Kerajaan Sarawak yang telah meluluskan tambahan empat projek berimpak tinggi itu.

Projek tambahan itu ialah kerja-kerja pemasangan voltan tinggi 11 kilovolt (KV) ‘overhead line’ dan alat ubah (transformer) 50KVA serta pengujian dan pentauliahan ke kilang beras skim padi Kampung Kaba.

“Selain itu, pemasangan lampu solar di kampung-kampung dan rumah-rumah panjang di DUN Kalaka, selain projek menaik taraf Dewan Terbuka Sri Kalaka.

“Pentas di Tebingan Sungai Krian Saratok dan keempat iaitu projek menaik taraf jalan pertanian di beberapa tempat dalam DUN berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat penyelarasan projek BDDA DUN N.38 Kalaka di DUN, Petra Jaya di sini, semalam.

Untuk makluman katanya, 20 peratus daripada 25 projek BDDA di DUN Kalaka sudah siap, manakala 16 peratus peringkat pelaksanaan dan 64 peratus dalam reka bentuk dan perancangan.