KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi berangkat ke Majljs Penyerahan Zakat Perniagaan daripada Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di Astana Negeri di sini hari ini.
Pada majlis itu, LPB diketuai Pengerusinya, Dato Sharkawi Alis menyerahkan zakat perniagaan LPB tahun 2025 sebanyak RM2,000,000.00 kepada Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd. Shibli Abang Nailie disaksikan oleh Tun Pehin Sri Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah dengan bacaan doa oleh Timbalan Ketua Sektor Operasi TBS, Ustaz Mohd. Yusree Mohammad Zain.
Majlis itu menandakan komitmen LPB dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi masyarakat selaras dengan usaha memperkasa hubungan strategik antara sektor korporat dan institusi agama.
Tun Dr Wan Junaidi berharap supaya sumbangan zakat daripada agensi-agensi di Sarawak diurus sebaik mungkin dan akan memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat Islam khususnya golongan asnaf, anak-anak yatim serta golongan yang memerlukan bantuan.
Hadir sama Pengurus Besar LPB, Mizool Amir Mat Drus, Penolong Pengurus Besar LPB (Operasi) Kapt. Zakhir Khan Yusoff, Pengurus Kanan (Pentadbiran, Kewangan, Perolehan dan Aset) LPB, Hida Jerman, Pengurus Kanan (Undang-undang) LPB, Norkartiny Nawawi, Pengurus (Kewangan) LPB, Norziah Jaimin dan Pegawai (Marin) LPB, Awang Saffarudin Awang Saifudin.
