Mangsa titian roboh di Kampung Jemoreng Hilir dibantu

MATU: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM611,750 bagi membantu mangsa insiden 11 laluan titian roboh akibat arus deras di Kampung Jemoreng Hilir, di sini, 13 April lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato’ Dr Juanda Jaya berkata, seramai 18 Ketua Isi Rumah (KIR) membabitkan 84 Ahli Isi Rumah (AIR) dikenal pasti terkesan secara langsung dalam kejadian ini.

Katanya, peruntukan melalui Jawatankuasa Pengurusan dan Bencana Negeri (JPBN)
itu dimaklumkan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dauglas Uggah Embas kepada beliau.

“Kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan akan segera meneliti langkah pemulihan infrastruktur termasuk membina semula titian yang runtuh agar akses penduduk dapat dipulihkan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Ringkas Penyerahan Bantuan Kepada Mangsa Kes Titian Runtuh di Kampung Jemoreng anjuran Pusat Khidmat ADUN N.44 Jemoreng di kampung terbabit, di sini, semalam.

Dr Juanda juga telah menyampaikan sumbangan tunai berjumlah RM9,000 kepada semua KIR yang terlibat, sebagai bantuan awal untuk meringankan beban mereka.