SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi penyelidikan bertaraf antarabangsa menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Emerald Group Publishing East Asia.
UNIMAS menerusi satu kenyataan hari ini memberitahu kerjasama strategik ini dilihat sebagai langkah penting dalam meningkatkan kecemerlangan akademik dan memperluas impak penyelidikan universiti terhadap cabaran global.
Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Theatre Multimedia, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEB) UNIMAS itu disempurnakan oleh Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit bersama William Loh, Customer Success Partner Emerald Publishing East Asia.
Menurut Dr Ahmad Hata Rasit, kerjasama ini bukan sekadar menjurus kepada penerbitan akademik, tetapi turut memberi penekanan kepada impak penyelidikan terhadap isu-isu dunia sebenar.
“Majlis ini bukan sekadar satu perjanjian rasmi, tetapi menandakan permulaan kepada satu kerjasama bermakna dan strategik dalam memperkaya landskap akademik.
“Penyelidikan mesti melangkaui penerbitan dan memberi impak sebenar, menangani ketidaksamarataan sosial, menyokong teknologi lestari serta menyumbang kepada sistem pendidikan dan ekonomi yang lebih inklusif,” katanya.
MoU ini memberi fokus kepada pembangunan kapasiti penyelidikan, penganjuran bengkel dan kolokium, serta penerbitan ilmiah berkualiti tinggi yang akan membantu meningkatkan keterlihatan global hasil penyelidikan UNIMAS.
Selain itu, kerjasama ini membuka peluang perkongsian amalan terbaik dan penyebaran ilmu yang memberi kesan langsung kepada komuniti akademik dan masyarakat umum.
