LONDON: Program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025 United Kingdom Edition yang julung kali dianjurkan di luar negara mencipta sejarah tersendiri apabila menerima sambutan hangat daripada kira-kira 230 pelajar Sarawak yang sedang melanjutkan pengajian di United Kingdom, Perancis dan Jerman.
Program diadakan hari ini waktu tempatan itu merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak ini bertujuan merapatkan hubungan dengan rakyat Sarawak di perantauan, khususnya dalam kalangan pelajar dan golongan profesional muda.
Penganjuran program ini juga dilaksanakan melalui kerjasama erat antara Yayasan Sarawak, Sarawak Volunteers dan Sarawak Student Association United Kingdom.
Antara objektif utama program ini ialah untuk memberi pendedahan kepada anak-anak Sarawak di luar negara tentang dasar serta pendekatan Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan pembangunan mampan negeri, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS 2030).
Program ini turut menyediakan platform untuk pelajar menyuarakan pandangan serta cadangan menerusi sesi townhall bersama Premier Sarawak, di samping memperkukuh kefahaman mereka terhadap hala tuju pembangunan negeri.
Selain itu, program berkenaan memberi inspirasi dan keyakinan kepada pelajar Sarawak di luar negara berhubung keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan dan kesejahteraan mereka.
Program ini turut membuka peluang kepada peserta untuk mendapatkan maklumat berkaitan prospek kerjaya melalui penglibatan agensi kerajaan dan syarikat korporat yang menjadi rakan strategik Kerajaan Sarawak.
Pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang program, termasuk sesi dialog, pameran kerjaya dan aktiviti pembangunan diri yang berfokus kepada pemerkasaan bakat muda serta pengukuhan jaringan komuniti diaspora Sarawak di rantau Eropah.
Antaranya, Sesi Townhall siswa siswi Sarawak bersama YAB Premier Sarawak, Meet & Greet Anak Sarawak, Kenyalang Speaks, Sarawak Dialogue dan Majlis Makan Malam Anak Sarawak.
