Kolam takungan , teknologi saliran moden atasi banjir DUN Jepak

BINTULU: Pembinaan kolam takungan hujan dan penggunaan teknologi saliran moden kini dipertimbang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata, ini antara langkah strategik jangka panjang Kerajaan Sarawak bagi mengatasi masalah banjir berulang di DUN terbabit.

“Langkah jangka panjang sedang dipertimbang termasuk pembinaan kolam takungan hujan, penggunaan teknologi saliran moden serta cadangan penempatan semula penduduk di kawasan rendah,” katanya.

Beliau demikian pada majlis penyerahan sumbangan kepada mangsa banjir di kawasan DUN Jepak di Bangunan Martabat, di sini, hari ini.

Selain itu Iskandar juga menghargai sokongan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang membantu mempercepatkan perbincangan penyelesaian banjir di peringkat Persekutuan.

Di majlis itu, beliau diiringi Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan menyampaikan sumbangan periuk elektrik, pemanas air, selimut, kain pelikat dan sarung serta selimut tebal kepada seramai 621 ketua isi rumah (KIR).