Sarawak lancar Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen

KUCHING: Sarawak melancarkan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen 2025 (H2EF) untuk memperkukuh kedudukan wilayah ini sebagai kuasa besar hidrogen bersih di Asia Tenggara.

Pelancaran pelan tersebut disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.

Dalam amanatnya, beliau menekankan komitmen kerajaan negeri untuk membangunkan empat hab tenaga strategik sebagai teras kepada transformasi tenaga hijau Sarawak.

Ia meliputi tenaga boleh diperbaharui, gas asli, penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) serta hidrogen.

“Hab-hab ini bukan sekadar pelaburan tenaga, tetapi merupakan asas kepada masa depan ekonomi Sarawak yang mampan, berdaya saing dan berimpak tinggi,” ucapnya.

Abang Johari menjelaskan, Sarawak kini berada pada landasan kukuh untuk muncul sebagai hab tenaga serantau melalui pembangunan empat komponen strategik yang membentuk teras transformasi tenaganya.

Katanya, Hab Tenaga Boleh Diperbaharui memanfaatkan kekayaan sumber seperti hidro, suria dan biojisim, yang bukan sahaja menyumbang kepada keperluan domestik, malah telah pun dieksport ke Kalimantan Barat.

Selain itu katanya, usaha sedang giat dijalankan untuk meluaskan jaringan sambungan tenaga ini ke Sabah, Brunei, Semenanjung Malaysia dan Singapura.

Katanya, Hab Gas Asli menyaksikan Sarawak memanfaatkan hampir 60 peratus daripada keseluruhan rizab gas Malaysia melalui pembangunan empat hab utama di Miri, Bintulu, Samalaju dan Kuching, sejajar dengan pelaksanaan Pelan Jalan Gas Sarawak yang menyokong keperluan industri dan pasaran eksport.

Sarawak katanya, turut mengorak langkah sebagai peneraju dalam teknologi Penangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS), dengan lebih 65 peratus potensi penyimpanan karbon Malaysia terletak di negeri ini.

Premier Sarawak turut mengumumkan pencapaian penting yang meletakkan negeri ini sebagai perintis kawal selia industri hidrogen di rantau ini apabila meluluskan pindaan kepada Ordinan Pengagihan Gas merangkumi aktiviti berkaitan hidrogen secara khusus.

“Undang-undang yang berkuat kuasa mulai 1 Mac 2025 ini memberi kuasa kepada kerajaan Sarawak untuk melantik pengawal selia industri, menggubal garis panduan keselamatan, dan menetapkan kadar atau caj ke atas operasi hidrogen.

Menyentuh perkara lain, Premier Sarawak turut mengumumkan Hab Hidrogen yang merangkumi dua projek mega iaitu H2ornbill dan H2biscus yang kini sedang melalui fasa reka bentuk kejuruteraan dan dijangka siap hujung tahun ini.

Katanya, sebuah lagi hab baharu juga sedang dirancang di Kuching yang dijangka memperkukuh lagi ekosistem hidrogen di negeri ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan menteri-menteri kabinet lain.