SABERKAS Ngemah perkasa belia sebagai pemimpin masa depan

KANOWIT: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Ngemah memperkasakan golongan belia sebagai pemimpin masa depan, sejajar matlamat Kerajaan Sarawak untuk melahirkan generasi muda yang berdaya saing dan bersatu padu.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, usaha ini dilaksanakan menerusi penganjuran pelbagai program oleh SABERKAS yang memupuk semangat kerjasama antara kaum dan membentuk masyarakat harmoni.

“SABERKAS melatih dan memperkasakan belia untuk menjadi pemimpin masa depan.

“Ia juga memupuk semangat kerjasama dan toleransi bagi semua kaum,” katanya pada Majlis Penangguhan Program Hari Bersama Komuniti Ngemah yang berlangsung di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Kanowit, semalam.

Sharifah Hasidah menambah SABERKAS merupakan platform penting dalam pembangunan belia dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana turut menyarankan agar lebih banyak program seumpama ini dianjurkan khususnya di luar bandar untuk memberi peluang kepada belia menyertai aktiviti yang memberi manfaat.

Seramai 200 orang peserta, terdiri daripada belia, wakil agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai program tersebut.