SiADR mahu perluaskan kerjasama dengan Sarawak

KUCHING: Institut Timbang Tara dan Penyelesaian Pertikaian Sarawak (SiADR) menyatakan komitmen untuk memperkukuh peranannya sebagai pusat penyelesaian pertikaian alternatif utama di negeri ini.

Perkara itu dizahirkan semasa kunjungan hormat delegasi SiADR yang diketuai Pengerusinya, Datuk Yew Jen Kie ke atas Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri, Petra Jaya, pagi tadi.

Menurut Yew, SiADR berhasrat memperluas kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memperkasa mekanisme timbang tara dan mediasi yang lebih cekap dan berkesan untuk masyarakat serta sektor korporat.

Sementara itu, Tun Dr. Wan Junaidi menyambut baik peranan aktif SiADR yang disifatkan sejajar dengan usaha memperluas akses kepada keadilan serta memperkukuh institusi perundangan di Sarawak.

Beliau turut menghargai inisiatif SiADR dalam membangunkan modal insan melalui latihan dan kerjasama dalam bidang timbang tara dan penyelesaian pertikaian.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Senator Robert Lau Hui Yew serta penasihat Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Stephen Chung.