Sarawak fokus ekonomi baharu, bangunkan pekerja berkemahiran tinggi

KUCHING: Kerajaan Sarawak kini memberi fokus kepada ekonomi baharu berasaskan teknologi, kemahiran dan produktiviti, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, tumpuan diberikan kepada sektor-sektor strategik seperti tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital dan adaptasi terhadap perubahan iklim global yang memberi kesan langsung kepada landskap ekonomi dunia.

“Mahu atau tidak, kita perlu mencari halatuju yang betul. Sebab itu kita memerlukan latihan serta kepakaran, khususnya dari sudut disiplin teknikal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Pekerja Peringkat Sarawak di Hikmah Exchange pagi tadi.

Menurut Abang Johari, dalam era teknologi moden termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), pekerja berperanan penting, namun dengan keperluan kemahiran yang lebih tinggi dan bersifat teknikal.

Menurutnya lagi, Sarawak tidak mahu terperangkap dalam perangkap ekonomi kos tinggi dengan produktiviti yang rendah. Sebaliknya, penggunaan teknologi akan menjadi alat utama dalam mencapai kecekapan serta penjimatan kos dalam semua sektor.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen Dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.