KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang untuk membina Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Bintulu.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, sekolah itu akan dibina di kawasan Jepak.
“Sekolah tersebut akan dibina di kawasan penempatan baharu Jepak,” katanya.
Teks beliau dibaca oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS-Jepak, Iskandar Turkee pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Roland berkata, bagi memastikan kelestarian dan kualiti pendidikan di sekolah yang dirancang, Kerajaan Sarawak akan melaksanakan rangka kerja seragam dan komprehensif selari silibus International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).
“IGCSE yang dilaksanakan di semua sekolah antarabangsa seluruh dunia. Silibus IGCSE ini mengikut perkembangan pedagogi pengajaran dan pembelajaran terkini,” katanya.
Di samping itu, katanya mekanisme pemantauan dan maklum balas bagi menilai keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara berkala mengikut piawaian Cambridge University.
Beliau berkata, pelajar Yayasan Sarawak sekolah berkenaan mencapai kelulusan 100 peratus bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dalam ujian Cambridge checkpoint Year 9 dan menunjukkan prestasi membanggakan sebagai kohort pertama.
