KUCHING: Sambutan Hari Gawai Dayak disifatkan sebagai manifestasi budaya mencerminkan semangat juang masyarakat Dayak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, masyarakat itu sentiasa teguh dalam menghadapi cabaran kehidupan.
“Sambutan Gawai ini bukan sekadar menandakan berakhir musim menuai, tetapi sebagai simbol ketabahan, kerja keras dan kekuatan komuniti Dayak yang diwarisi turun-temurun,” katanya dalam perutusan Hari Gawai Dayak hari ini.
Awang Tengah berkata, nilai-nilai murni yang dizahirkan melalui sambutan Gawai seperti kebersamaan, keutuhan komuniti dan penghargaan terhadap warisan nenek moyang adalah asas penting membina masyarakat yang bersatu padu dan progresif.
Menurutnya, semangat inilah yang menyatukan rakyat Sarawak walaupun berbeza latar belakang, agama dan budaya dan menjadikan Gawai bukan hanya perayaan komuniti Dayak, tetapi sebuah lambang perpaduan seluruh rakyat Sarawak.
