Hidupkan semula lagu, tarian lama Lun Bawang

LAWAS: Persatuan Lun Bawang Sarawak perlu menghidupkan semula budaya lama masyarakat Lun Bawang yang semakin dilupakan generasi muda.

Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, antaranya lagu-lagu orang tua dikenali sebagai “Mumu” dan tarian-tarian lama selain tarian Busang Pakoi.

“Warisan inilah yang kita patut pertontonkan kepada generasi sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semasa pembukaan Pesta Lun Bawang atau Irau Aco Lun Bawang di Stadium Tertutup Lawas, di sini, hari ini.

Henry Sum juga menyokong usaha Persatuan Lun Bawang Sarawak membina sebuah pusat kebudayaan Lun Bawang yang menjadi galeri atau pusat pengumpulan seni budaya masyarakat terbabit di sini.