Komponen fasa ketiga Galeri Warisan Melanau Oya ditambah

KUCHING: Pembinaan fasa ketiga Galeri Warisan Melanau Oya bakal menyaksikan penambahan 10 komponen utama berhubung adat dan budaya masyarakat Melanau.

Ia sekali gus memperkukuh fungsinya sebagai pusat pemeliharaan warisan dan tarikan pelancongan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata komponen baharu itu merangkumi pameran tokoh tempatan, perubatan tradisional, pesta Kaul, makanan warisan serta seni tarian.

“Selain itu, kita akan wujudkan ruang interaktif seperti bengkel yang membolehkan pengunjung mencuba sendiri tarian tradisional, menikmati makanan tempatan serta memahami kepercayaan dan budaya masyarakat Melanau secara lebih mendalam,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini.

Beliau mengulas perkembangan terbaharu galeri berkenaan yang mula beroperasi sejak 2022 dan kini sedang menunggu kelulusan reka bentuk daripada Jawatankuasa Reka Bentuk Bangunan Negeri (SBDC) sebelum kerja pembinaan fasa ketiga dimulakan.

Dalam pada itu, Fatimah berkata, Lembaga Amanah Kebajikan Melanau Oya turut menerima geran berjumlah RM193,006 daripada Premier Sarawak, bagi menyokong operasi galeri berkenaan.

Fatimah berkata, sejak dibuka, Galeri Warisan Melanau Oya mencatat kehadiran seramai 6,432 pengunjung termasuk pelawat tempatan dan luar negara.