KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) dan Affin Bank Berhad menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) untuk pengurusan Endowment Fund Sarawak (EFS) 2.0 di sini, hari ini.
Affin Bank dalam satu kenyataan berkata, di bawah MoA itu, Affin Bank secara rasmi dlantik oleh Kerajaan Sarawak untuk mengurus EFS 2.0 iaitu satu inisiatif simpanan jangka panjang yang rangka khusus untuk setiap kelahiran anak Sarawak.
Mandat lima tahun itu mulai 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2029, mencerminkan perkongsian komitmen inklusif penyertaan ekonomik dan pemerkasaan jangka panjang masyarakat.
EFS 2.0 meningkatkan inisiatif endowmen negeri Sarawak dengan menawarkan setiap bayi yang layak menerima pakej simpanan berjumlah RM1,000 terdiri daripada RM550 disimpan dalam Simpanan Tetap Affin Islamic dengan kadar keuntungan tahunan 3.4 peratus dan RM450 disimpan di dalam Akaun Emas Affin yang menawarkan purata pulangan 8.98 peratus setahun.
Pendekatan strukttur itu menyokong kemampanan kekayaan terkumpul selama 18 tahun, mengukuhkan kesejahteraan kewangan secara jangka panjang dan meningkatkan persediaan kewangan untuk generasi akan datang.
Selain itu, setiap pemanfaat akan mendapat Tambahan Pelan Perlindungan Takaful, yang menyediakan wang perlindungan RM10,000 kepada salah seorang ibu atau bapa sekiranya berlaku kematian atau kehilangan upaya kekal untuk tahun pertama. Perlindungan itu mencerminkan pendekatan holistik bagi kesejahteraan kewangan dan keselamatan keluarga.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, EFS 2.0 membuktikan keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam bentuk pelaburan jangka panjang.
Kematangan bagi akaun EFS adalah berdasarkan tempoh matang akaun selama 18 tahun dan bukan berdasarkan umur anak mencapai 18 tahun.
Beliau berkata, ini bermaksud, tarikh matang sebenar adalah dikira bermula dari tarikh pembukaan akaun EFS dan akan matang selepas 18 tahun kitaran lengkap, selaras dengan struktur simpanan perbankan yang dilaksanakan oleh institusi kewangan.
Sejak inisiatif EFS mula diperkenal pada 2019 sehingga 31 Mei 2025, katanya, sejumlah 136,004 anak Sarawak telah memiliki akaun EFS TDT (Term Deposit Tawarruq).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, Affin Bank menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak bagi menyokong EFS 2.0, satu inisiatif yang bermakna bagi menggalakkan kesejahteraan kewangan jangka panjang dan ketahan ekonomi rakyat Sarawak.
