SARATOK: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahasa Malaysia Saratok mengadakan Majlis Sambutan Jubli Emas ke-50 sekolah terbabit di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohamad Razi Sitam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata SMK Bahasa Malaysia Saratok telah dirasmikan pada tahun 1975 dan sebelum itu menumpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Abdul Rahman Saratok.
“Sekolah ini telah melahirkan ramai tokoh dalam pelbagai bidang, daripada penjawat awam, ahli akademik, usahawan hingga ke pemimpin masyarakat,”katanya ketika majlis terbabit.
Sebagai wakil rakyat dan bekas pelajar sekolah ini, beliau berjanji akan terus membantu dan menyokong usaha pembangunan pendidikan di sini termasuk di SMK Bahasa Malaysia Saratok.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, Pengetua SMK Bahasa Malaysia Saratok, Supian Ekeram, Pemanca Lim Guan Ann dan Alumni serta pelajar SMK Bahasa Malaysia Saratok.
