BETONG: Sebanyak RM341,722.80 diperuntukkan untuk membayar pampasan kepada 19 pemilik tanah yang terlibat dalam projek pembinaan jalan akses dari Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ajau, Rumah Gensurai hingga ke Rumah Panjang Skatap, Betong.
Timbalan Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, tanah yang terlibat adalah tanah berhakmilik (13 lot), tanah Gunasama Komunal Bumiputera (satu lot) dan tanah kerajaan (lima lot), keseluruhannya melibatkan 19 lot tanah.
“Projek jalan akses dari sekolah hingga ke beberapa rumah panjang seluas 4.084 hektar ini diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri, 11 April 2023.
“Oleh itu, notis yang digunakan untuk mengambil balik tanah berkenaan ialah Notis Seksyen 48 dan 6(4) Kanun Tanah Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Jalan Akses dari SK Nanga Ajau, Rumah Panjang Gensurai ke Rumah Panjang Skatap bertempat di Hab Inovasi Digital Betong, hari ini.
Gerald yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar berkata, kebaikan daripada projek itu memudahkan pergerakan penduduk Rumah Panjang Skatap dan sekitar bergerak ke kawasan Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) dan Klinik Kesihatan Mid Layar.
