SMK Long Lama bakal miliki Makmal Mini T&T

LONG LAMA: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) mengumumkan pemberian peralatan menubuhkan Makmal Mini Think & Tinker (T&T) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Lama, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau mengumumkan pemberian terbabit bagi menyokong usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak pelajar di kawasan itu.

“Saya selaku Ahli Lembaga Amanah TEGAS dengan sukacita mengumumkan pemberian peralatan untuk menubuhkan T&T Mini Lab di sekolah SMK Long Lama dengan nilai sebanyak RM15,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diwakili Penghulu Desmond Yap Cheng Siang di Majlis Perasmian Program Jerayawara Project of DreamsRealized (PRO-DR) Siri ke-10 anjuran TEGAS, di sini, hari ini.

Makmal terbabit akan menyediakan platform kepada pelajar menerokai dan mengembangkan kemahiran digital mereka.

Sementara itu, lebih 30 institusi pendidikan tinggi (IPT) dan syarikat turut serta dalam karnival ini yang mendedahkan pelajar luar bandar kepada pelbagai peluang dalam pendidikan, kemahiran TVET, dan kerjaya digital.

Selain itu, program ini turut menampilkan bengkel interaktif dan sesi kaunseling kerjaya yang berfokus kepada bidang Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan keusahawanan digital, mempersiapkan pelajar untuk cabaran dan peluang masa hadapan.