SFC, Mubadala Energy pulihkan kawasan paya bakau, tanam 2,000 pokok

KUCHING: Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Mubadala Energy mengadakan aktiviti penanaman simbolik pokok di Taman Negara Kuching Wetland, di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah SFC, Datuk Len Talif Salleh.

Program yang berlangsung di kawasan Sungai Lemidin dalam tapak Ramsar ini adalah kesinambungan langsung kepada perjanjian kerjasama yang ditandatangani di Abu Dhabi pada 7 November 2024.

Kerjasama terbabit memperincikan komitmen bersama untuk memulihkan dua hektar kawasan paya bakau terdegradasi melalui penanaman sebanyak 2,000 pokok.

“Aktiviti penanaman simbolik yang disertai wakil kedua-dua organisasi ini menandakan pelancaran rasmi projek perintis serta merealisasikan komitmen yang dipersetujui,” menurut SFC.

Program ini juga diadakan sempena Hari Pemuliharaan Ekosistem Bakau Sedunia yang disambut pada 26 Julai setiap tahun.

Selain itu usaha kolaboratif ini sejajar dengan Pelan Induk Biodiversiti Sarawak – ‘Vision with Action for Biodiversity’ yang dilancarkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 22 April 2025 bersempena sambutan Hari Bumi.