Jangan remehkan isu kesihatan mental – Gerald

KUCHING: Kesihatan mental tidak boleh lagi dianggap sebagai isu pinggiran kerana ia melibatkan kesejahteraan belia yang menjadi tunjang kemajuan negara.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, stigma masyarakat terhadap masalah kesihatan mental harus dihapuskan kerana ia hanya menambah tekanan kepada golongan yang terjejas.

“Negara tidak akan berkembang tanpa belia,” katanya ketika merasmikan Sarawak International Conference on Youth Mental Health di sini, hari ini.

Katanya, inilah masanya untuk masyarakat lebih peka terhadap isu-isu termasuk kesihatan mental, yang sering diketepikan kerana dikaitkan dengan stigma negatif dalam masyarakat.

Tambahnya, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sebelum ini telah melancarkan Mental Health Index yang diiktiraf UNICEF bagi memperkukuh usaha menangani isu berkenaan.

Justeru, beliau menyeru semua pihak untuk lebih peka terhadap isu kesihatan mental, menghulurkan bantuan dan mendengar keluhan mereka yang memerlukan sokongan.