95% pekebun kecil seluruh negara dapat Pensijilan MSPO

SEBUYAU: Sebanyak 32 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) menerima Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di Sarawak.

Ia membabitkan 37,945 pekebun kecil dengan keluasan 213,607.51 hektar.

Bagi kawasan Asajaya, sebanyak dua SPOC mendapat Pensijilan MSPO melibatkan seramai 2,645 pekebun kecil persendirian dengan keluasan 14,537.29 hektar.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, secara keseluruhan sebanyak 95 peratus pekebun kecil di seluruh negara mendapat Pensijilan MSPO.

Oleh itu, katanya kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) giat melaksana inisiatif proaktif untuk memperkasakan pekebun kecil sawit persendirian.

Di Sarawak, katanya seramai 46,325 pekebun kecil mengusahakan kebun sawit.

“Ini menjadikan purata milik kawasan tanaman sawit bagi setiap pekebun kecil di Sarawak adalah seluas 5.5 hektar,” katanya semasa Sembang Santai Bersama Pekebun Kecil Sawit sempena Trek Komoditi 2023 Zon Sarawak anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi di Kampung Seruyuk, di sini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli dan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.

Fadillah menjelaskan, kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyalurkan pelbagai bantuan kepada pekebun persendirian.

Antaranya Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS), Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS), Skim Insentif Integrasi Tanaman (ITa) dan Skim Insentif Integrasi Ternakan (ITe).

Sehingga September 2023, 69 pusat timbang siap dibina di seluruh negara dengan jumlah urusniaga Buah Tandan Segar (BTS) sebanyak 332,633.25 tan.

Purata jualan BTS bagi sebuah pusat timbang adalah 401 tan sebulan.

MPOB sehingga kini membuka 13 Pejabat TUNAS di seluruh Sarawak iaitu di Bau, Sessang, Betong, Sarikei, Serian, Sri Aman, Mukah, Sibu, Miri, Limbang, Batu Niah, Bintulu dan Sibuti.

Pejabat ini menyediakan khidmat nasihat penanaman sawit dan pemindahan teknologi kepada pekebun kecil.