KUCHING: Sarawak akan membina TEGAS Digital Core Living Nomad Lounge bagi memudahkan anak-anak tempatan mengkaji dan mencipta aplikasi baharu dalam teknologi digital.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebanyak RM71 juta telah diperuntukkan kepada Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) untuk membina fasiliti itu yang terletak bersebelahan TEGAS Digital Village di sini.
“Ia akan dibina dalam tempoh 36 bulan dengan pelbagai fasiliti dan mungkin yang pertama di Borneo,” katanya selepas merasmikan SCaT Fair 2023 di Wisma SABATI, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, fasiliti terbabit dibina susulan kejayaan sebuah syarikat milik Sarawak yang mewujudkan aplikasi Transit Aliran Automasi (ART) dan lampu isyarat dihubungkan dan bergerak secara efisien.
Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari meminta Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) mewujudkan program untuk melatih petani.
Katanya, program yang akan dilaksanakan bersama Jabatan Pertanian itu bertujuan meneroka input teknologi baharu dalam pertanian khususnya penghasilan produk tani dalam kuantiti yang lebih besar.
Menurutnya, cadangan pengwujudan program itu berikutan kejayaan penanaman padi di kawasan Lubok Punggor, Gedong yang berjaya menghasilkan keluaran padi sebanyak tiga kali setahun.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi TEGAS Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri MEITD Datuk Dr. Annuar Rapa’ee, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Setiausaha TEGAS Datuk Abdullah Saidol.
GAMBAR:JABATAN PREMIER
