Lima kampung Asajaya jadi Kampung Angkat MADANI

ASAJAYA: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melancarkan Program Kampung Angkat MADANI yang melibatkan projek fizikal di lima kampung di Dewan Perpaduan, Kampung Semera Lot, Semera, di sini, hari ini.

Kampung terbabit ialah Kampung Semera Lot Baru, Kampung Semera Masjid, Kampung Ulu Semera, Kampung Semera Hilir dan Kampung Lot Buah.

Menurut kenyataan media UNIMAS, majlis perasmian program disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee dan diselaraskan oleh Pusat Kelestarian Universiti dan melibatkan penyertaan aktif daripada 18 Pusat Tanggungjawab (PTJ) termasuk fakulti, pusat dan hospital pengajar UNIMAS.

“Program Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif berimpak tinggi yang berteraskan pendekatan pembangunan
komuniti secara holistik dan inklusif, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dan visi Sarawak Maju Makmur,” menurut UNIMAS.

Objektif program untuk merapatkan jurang kemudahan asas antara desa dan bandar dengan beberapa projek fizikal di lima kampung terlibat.

Antaranya rekabentuk dan pemasangan sistem penuaian air hujan di masjid dan dewan kampung, pemasangan lampu solar di lokasi-lokasi strategik kampung, pendawaian elektrik baharu dan menaik taraf kemudahan dewan, pembinaan jeti baharu dan dockyard.

Projek-projek ini dibangunkan dengan penglibatan aktif daripada penduduk kampung sendiri sepanjang proses pelaksanaan.

Sementara itu, Rodiyah Sapiee menggesa seluruh komuniti agar mengguna dan menjaga setiap kemudahan yang telah dibangunkan dengan penuh tanggungjawab dan rasa memiliki.

“Saya percaya, kejayaan program ini boleh menjadi model kepada inisiatif serupa di luar bandar lain di Sarawak dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, ini pendekatan yang mengangkat nilai MADANI dan menyokong visi Sarawak Maju Makmur dan negeri yang
menghormati keadilan sosial, melindungi alam sekitar, serta menanam semangat jati
diri.