Sarawak terokai peluang kerjasama dengan Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN: Kerajaan Sarawak mahu meneroka lebih banyak peluang kerjasama strategik bersama Brunei Darussalam dalam pelbagai bidang.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, perkongsian sempadan dengan Brunei Darussalam memberi Sarawak kelebihan untuk membina hubungan erat dengan kerajaan negara itu termasuk komuniti perniagaan serta rakyatnya.

Katanya, nilai dagangan antara Sarawak dan Brunei Darussalam mencecah kira-kira RM3.39 billion pada 2024, hasil perhubungan akrab dan perdagangan yang telah terjalin sekian lama.

“Terdapat banyak peluang yang boleh diterokai oleh Sarawak dan Brunei Darussalam merangkumi potensi kerjasama dalam bidang tenaga hijau dan hidrogen, telekomunikasi, pertanian dan makanan halal, logistik dan infrastruktur sempadan, bioekonomi, penyelidikan dan pembangunan serta pendidikan dan pembangunan bakat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya pada perasmian program Citarasa dan Tautan Budaya Sarawak-Borneo 2025 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah hari ini.

Program anjuran Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak, Brunei (STATOB) itu telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Dr Awang Amin Liew Abdullah.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) menambah sistem kawal selia Brunei Darussalam yang kukuh dan kekayaan biodiversiti Sarawak menawarkan lebih banyak potensi kerjasama, terutamanya dalam produk herba dan nutraseutikal.

Malah katanya, Sarawak juga berkongsi komitmen untuk memelihara litupan hutan dan bersama-sama meneroka industri perdagangan karbon.

Justeru katanya, STATOB akan terus memainkan peranan aktif – bukan sahaja mempromosi, tetapi menjadi penghubung strategik dan pemudah cara bagi kerjasama serantau antara Sarawak dan Brunei Darussalam.

“Sarawak akan terus bekerjasama dengan Brunei untuk mempromosikan program pelancongan bersama dan meletakkan Borneo sebagai destinasi, memanfaatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sebagai hab serantau.

“STATOB menyediakan khidmat nasihat kepada pedagang, pelabur dan pemain industri pelancongan, dan diterajui oleh pegawai dari kedua-dua wilayah.

“Ia membantu pengimport Brunei, pengeksport Sarawak serta pelabur yang ingin memanfaatkan lokasi strategik Brunei di Asia Tenggara,” tambah Datuk Amar Awang Tengah lagi.

Turut hadir isteri Datuk Amar Awang Tengah, Dato Dayang Morliah Awang Daud, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Dato Sri Mohd Naroden Majais dan Ketua Pegawai Eksekutif STATOB Samat Junai.

Seramai 20 pempamer dari Sarawak dan 18 dari Brunei Darussalam mengambil bahagian dalam program itu dianjurkan dari 2 hingga 3 Ogos ini.

Selain pameran makanan, kraftangan dan produk tempatan, pengunjung juga disajikan dengan persembahan kebudayaan pelbagai etnik di Sarawak dan Brunei Darussalam.