DARO: Pertandingan Putera Hensem dan Puteri Jawak sempena Pesta Daro 2025 berjaya menarik perhatian ramai penonton di Pentas Utama, Pesta Daro malam tadi.
Pertandingan bertemakan 3R iaitu Kitar Semula, Guna Semula dan Kurangi diadakan sempena Pesta Daro 2025.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, pertandingan tersebut menarik seramai 35 peserta terdiri daripada kalangan pelajar pra sekolah yang menampilkan berbagai rekaan busana unik berasaskan bahan kitar semula seperti plastik sampah, surat khabar, kertas, botol plastik dan dan sebagainya.
“Pengunjung jelas terhibur dengan telatah comel dan mencuit hati peserta cilik yang tampil dengan kostum kreatif. Ramai yang kagum melihat tahap kreativiti rekaan busana yang diperagakan,” katanya semasa merasmikan pertandingan itu, malam tadi.
Katanya, tema yang ditampilkan oleh penganjur telah memberi impak penting kepada kanak-kanak berkenaan pentingnya pengurusan sisa dan tanggungjawab sosial dalam menggalakkan gaya hidup lestari.
“Dalam masa sama, ia membentuk generasi yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” ujarnya.
Tambahnya, pertandingan ini memberi peluang kepada kanak-kanak berkenaan meningkatkan keyakinan diri ketika beraksi di hadapan khalayak ramai.
“Tema 3R ini juga memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya pembaziran sampah dan mengunakan semula bahan bahan yang terbuang.
“Syabas dan tahniah kepada Jabatan Pendidikan Daerah Daro yang bertanggungjawab menganjurkan pertandingan ini,” kata beliau.
Selain itu, turut diadakan di pentas yang sama malam tadi iaitu pertandingan karaoke akhir.
