KUCHING: Kawasan perkampungan warisan di sepanjang Jalan Datuk Ajibah Abol di sini, berpotensi dibangunkan menjadi kawasan pinggir bandar moden.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kawasan perkampungan pinggir bandar di sini bakal menerima impak hasil pembangunan pesat yang sedang dilaksanakan Kerajaan Sarawak.
Beliau mengambil contoh projek pemulihan kawasan East Perth di Australia yang berjaya ditransformasi daripada kawasan usang kepada kawasan pinggir bandar moden yang menarik.
“Di sana, mereka gunakan sungai dan jambatan sebagai pemangkin pembangunan.
“Kita juga ada dock, tebingan sungai dan Sungai Bintangor. Maka tidak mustahil kawasan ini juga boleh berubah dengan pendekatan sama,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Jambatan Sungai Bintangor yang dinamakan Jambatan Datuk Amar Juma’ani di Jalan Datuk Ajibah Abol di sini, malam ini.
Abang Johari menjelaskan, jambatan yang dinamakan sempena nama Allahyarhamah Puan Sri Juma’ani Tun Tuanku Bujang, dibangunkan bukan sekadar untuk keperluan logistik, tetapi menjadi simbol kasih sayang, penghargaan dan perubahan landskap bandar yang berakar daripada warisan kampung.
Ujarnya, jambatan yang telah siap dibina itu melengkapkan kepesatan pembangunan di bandaraya Kuching khususnya di kawasan Satok.
Beliau juga menyifatkan kemajuan yang dicapai di kawasan Satok dan sekitarnya seperti di bandar-bandar besar dunia seperti Rotterdam di Belanda, Budapest di Hungary dan East Perth di Australia.
“Kalau Bintulu ada Golden Gate, Kuching pun ada Rotterdam-nya iaitu jambatan ini.
“Bukan sekadar jambatan biasa, ia adalah mercu tanda kejuruteraan moden, keunikan seni bina dan simbol kebangkitan kawasan kampung ke arah pembangunan bandar pintar,” katanya.
Dalam ucapannya juga, beliau turut mengumumkan perancangan pembangunan kawasan yang dikenali sebagai Padang Pasir iaitu kawasan strategik bersebelahan Masjid Bintangor Ajibah Abol.
“Kalau KL ada KL Sentral, Kuching pun akan ada Kuching Sentral iaitu pusat pengangkutan utama untuk sistem Transit Aliran Automasi (ART) kita.
“Kawasan itu dahulunya tempat jualan sayur dan pasar terbuka, namun kini dirancang menjadi pusat pemindahan pengangkutan ART serta pembangunan bercampur yang moden dan bersepadu,” katanya.
