LAWAS: Seramai 44 penternak dari daerah Santubong, Lundu-Sematan, Sadong Jaya, Kabong, Pusa, Sibu, Sarikei, Tanjung Mani Mukah dan Lawas mendapat manfaat daripada projek akuakultur khususnya air payau tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan sebanyak RM1.98 juta bagi menjayakan projek tersebut.
Bagi daerah Lawas, sejumlah RM283,000 diperuntukkan di bawah program bantuan itu yang memberi manfaat kepada 19 penternak, katanya pada majlis pelancaran tukun rekreasi Jabatan Perikanan Laut Sarawak Kampung Punang dan Awat-awat di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong yang turut mewakili beliau pada majlis berkenaan.
Menurut Awang Tengah, dalam RMKe-12, KPKM melalui Jabatan Perikanan Laut (JPL) Sarawak membelanjakan RM7 juta bagi membangunkan projek akuaklutur khususnya air payau di seluruh Sarawak.
Projek itu, katanya, bertujuan meningkatkan bekalan protin khususnya daripada ikan kepada rakyat dan membantu pengusaha akuakultur di negeri ini memajukan sektor perikanan air tawar.
Usaha berterusan ini juga disasar untuk meningkatkan pendapatan isi rumah pengusaha ikan dan produk air tawar di Sarawak, katanya.
Beliau menambah, bantuan yang ditawarkan merangkumi input operasi, peralatan mudah alih dan sistem ternakan.
Majlis yang berlangsung di Tebingan Pantai Kampung Punang itu turut dihadiri Pengarah Kanan JPL Sarawak Abdul Rahman Wahab dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok.
