DARO: Pejabat Daerah Daro akan menganjurkan Pesta Pulau Bruit 2025 di Kampung Semop, Pulau Bruit di sini mulai 26 hingga 28 September depan.
Pesta tersebut berkonsepkan Mini Agro Feast itu dianjurkan dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.42 Semop dan Pusat Khidmat P.206 Tanjung Manis.
Pesta ini bertujuan mempromosikan keunikan warisan budaya, hasil pertanian, produk tempatan dan potensi pelancongan Pulau Bruit, sekali gus menjadi platform memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Pengisian awal pesta akan dimulakan melalui pelbagai program anjuran 13 penempatan kampung di seluruh Pulau Bruit dan antara aktiviti akan berlangsung termasuk pertandingan sukan, kebudayaan, keagamaan dan keusahawanan.
Kemeriahan pesta akan diperkaya dengan persembahan artis tempatan dan artis jemputan dari Semenanjung, selain pameran produk komuniti, demonstrasi masakan tradisional, jualan makanan, serta pelbagai aktiviti interaktif untuk semua lapisan masyarakat.
