Abang Jo rasmi Jambatan Btg Saribas 1 19 Julai ini, penantian 60 tahun penduduk berakhir

BETONG: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan merasmikan pembukaan Jambatan Batang Saribas 1 pada 19 Julai ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, upacara pembukaan rasmi jambatan itu dijadual pada jam 10.30 pagi di Pusa dekat sini.

Serentak dengan itu, Abang Johari akan melancarkan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), katanya selepas mesyuarat mengenai persiapan upacara pembukaan rasmi jambatan berkenaan di sini hari ini.

Jambatan sepanjang 1.55 kilometer (km) berharga RM375.5 juta itu menamatkan penantian selama 60 tahun penduduk untuk menyeberangi Batang Saribas, katanya.

Uggah berkata, jambatan itu kini dibuka untuk kegunaan orang ramai dan percaya akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi di kawasan berkenaan selain untuk keselesaan penduduk.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menegaskan, penduduk di Bahagian Betong mengucap terima kasih kepada Abang Johari atas pembinaan jambatan terbabit dan memperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion untuk BDDA.

Penubuhan BDDA, tambahnya, memberi impak kepada kemajuan penduduk di Bahagian Betong dan berharap penduduk datang beramai-ramai menyaksiakn upacara pembukaan jambatan berkenaan.

Hadir sama Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr. Richard Rapu, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohd. Shafizan Kepli, ADUN Krian dan Kalaka, Friday Belik dan Mohamad Duri dan Residen Betong, Richard Michael Abunawas.