LAWAS: Pembinaan anjung usahawan di beberapa kawasan di sini, termasuk Sundar menjadi landasan melahirkan ramai usahawan yang berdaya saing.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia merupakan usaha Kerajaan Sarawak membantu rakyat memanfaatkan sumber sedia untuk dipasarkan kepada pelanggan.
“Anjung usahawan diwujudkan bagi menyediakan kemudahan yang lebih kondusif dan tersusun kepada peniaga kecil dan sederhana untuk menjalankan aktiviti perniagaan dengan tersusun,”
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Anjung Usahawan Sundar di pekan Sundar, kira-kira 35 kilometer (km) dari bandar Lawas, hari ini.
Awang Tengah menjelaskan, walaupun kawasan Sundar terletak di bawah paras laut dan sering dilanda banjir, ia berpotensi untuk pembangunan sektor akuakultur dan penanaman padi.
Malah katanya, kawasan yang tinggi di sekitar Sundar juga sesuai untuk aktiviti penternakan kerbau serta ternakan lain bagi menjana pendapatan masyarakat.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang; Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Datu Lester Matthew; Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok serta kenamaan tempatan yang lain.
Anjung Usahawan Sundar merupakan projek di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED).
