KUCHING: Pelajar dari Dalat yang kini menuntut di CENTEXS Kampus Mukah akan berpindah ke CENTEXS Kampus Dalat pada September ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bangunan kampus kekal CENTEXS Dalat kini siap 98 peratus dan dijangka boleh digunakan bulan depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menyempurnakan upacara pembukaan rasmi kampus terbabit pada Oktober ini, katanya selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi, di sini hari ini.
Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, kampus itu dilengkapi kemudahan seperti asrama lelaki dan perempuan, pusat bahasa, bilik darjah digital, bilik elektrik, fesyen, blok kimpalan serta kursus khas pembinaan bot kacagentian yang tidak terdapat di pusat lain.
Pada hari sama, katanya, Premier Sarawak akan merasmikan Pesta Besaug 2025 edisi ke-25 di Dalat.
Beliau memberitahu, pesta yang diadakan setiap dua tahun sekali itu akan menampilkan pertandingan perahu bidar, aktiviti kebudayaan dan pesta jualan yang menjadi tarikan utama penduduk setempat.
Dalam pertemuan itu, Fatimah turut memohon nasihat Premier Sarawak berhubung pembangunan Dalat Boutique Hotel dan cadangan tersebut mendapat persetujuan dengan pembinaan akan dibiayai kerajaan Sarawak manakala operasi diserahkan kepada pihak swasta.
Turut hadir Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh, Pengurus Besar LCDA, Kusyairi Bostani dan Pegawai Daerah Dalat, Matthew Hubert.
