Empangan melata, sembilan lembangan sungai dikenal pasti dimaju

KUCHING: Sembilan lembangan sungai dikenal pasti dikaji sama berdaya maju untuk dibangunkan dengan empangan melata di negeri ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kerajaan menerima tiga permintaan dari tiga kawasan untuk dipertimbangkan bagi pembangunan empangan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan kawasan berkenaan dan menambah, permintaan berkenaan daripada penduduk selain kajian akan dijalankan Sarawak Energy Berhad (SEB).

Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata demikian pada Majlis Amanat Bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi dan Pelancaran Buku Rancangan Tahunan Kementerian 2024 di sini, hari ini.

Menurutnya, sebelum kerajaan meneruskan pembangunan empangan melata di kawasan tertentu, pihaknya akan mengadakan libat urus bersama-sama masyarakat di kawasan terlibat.

“Jika pembatalan dilakukan disebabkan bantahan suara minoriti masyarakat, ia akhirnya merugikan majoriti penduduk, katanya.

Beliau seterusnya memetik senario sebelum ini apabila projek pembinaan empangan hidroelektrik dibatalkan di kawasan tertentu tetapi selepas itu, terdapat penduduk yang menggesa agar infrastruktur itu dibangunkan semula.

Justeru, beliau berharap agar kejadian serupa tidak berulang dalam masa terdekat sekiranya kerajaan meneruskan pembinaan empangan melata.