KUCHING: Sebanyak RM7.6 juta dana diperuntuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak bagi meringankan beban kewangan golongan memerlukan sempena Tahun Baharu Cina 2024.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi penganjuran Majlis Sejambak Kasih Tahun Baru Cina (TBC) 2024.
“Peruntukan ini memanfaatkan seramai 7,656 penerima meliputi pelbagai bantuan yang disalurkan oleh JKM Sarawak dengan Kuching mencatatkan jumlah penerima paling ramai iaitu 2,736 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina di Majma Mall, di sini hari ini.
Sibu mencatatkan penerima seramai 1,764 diikuti 835 di Miri; Sarikei (515); Sri Aman (387); Serian (314); Bintulu (273); Samarahan (212); Limbang (204); Mukah (184); dan Kapit (74).
“Selain itu, dari Januari hingga Disember 2023, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM4,262,300 memanfaatkan seramai 10,631 penerima bantuan bulanan melibatkan pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan,” katanya.
Pada majlis itu, Mohammad Razi turut menyerahkan bantuan wang tunai RM100 dan hamper bernilai RM80 kepada 150 penerima manakala penerima lain, sumbangan wang tunai akan dikreditkan ke akaun masing-masing.
