KUCHING: Media di negeri ini akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan.
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, beliau memaklumkan perkara ini kepada Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam.
“Saya berjumpa secara peribadi dengan beliau dan memberitahu beliau bahawa wartawan akan memberikan kerjasama yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Pacuan Derma Darah Anjuran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain(UNIFOR) dan UKAS di Plaza Merdeka.
Abdullah Saidol berkata, kerjasama yang baik itu membantu Tun Dr Wan Junaidi menjalankan tugasnya sekali gus memampankan pembangunan di Sarawak.
“Pada satu masa nanti TYT akan mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan wartawan di Sarawak,” katanya.
Selain itu katanya, mungkin UKAS berusaha mengatur jadual jika ada wawancara bagi mengenali TYT dengan lebih dekat lagi.
Sementara itu, di program terbabit lebih kurang 95 penderma darah dari pelbagai latar belakang berjaya diperoleh termasuk 15 orang warga media dari pelbagai agensi.
Penderma terdiri daripada penjawat Perkhidmatan Awam Sarawak, ahli Persatuan Gereja Sarawak, ahli Persekutuan Persatuan Kuil Sarawak, ahli Persatuan Wartawan Bahagian Kuching, ahli Persatuan Buddha Malaysia Cawangan Sarawak, Hindu Sangam Cawangan Sarawak Malaysia, kakitangan Pullman Hotel Kuching, Persatuan Kuil Sikh Sarawak, ahli Perhimpunan Rohani Baha’i Sarawak, ahli Kuil Sri Maha Mariamman Kuching dan orang ramai.
Hadir Sama, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Samuel Simon dan Pengarah UNIFOR, Datu Jack Aman Luat.
