KUCHING: Inovasi pendidikan merentasi sempadan ASEAN menjadi tumpuan menerusi Pertandingan Inovasi Guru ASEAN (ASEAN-GIC) 2026 yang menghimpunkan guru dan sukarelawan belia bagi mencipta penyelesaian pendidikan masa depan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, ASEAN-GIC bukan sekadar pertandingan inovasi, malah menjadi platform menghimpunkan guru, sukarelawan belia dan sekolah dari seluruh ASEAN untuk berkongsi idea, pengalaman serta penyelesaian dalam bidang pendidikan.
“ASEAN-GIC merupakan platform menghimpunkan guru, sukarelawan belia dan sekolah dari seluruh ASEAN untuk berkongsi idea, inovasi dan penyelesaian dalam bidang pendidikan.
“Pendidikan menjadi jambatan untuk membina persefahaman dan masa depan ASEAN yang lebih mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah dan Penutupan ASEAN-GIC 2026, di TEGAS Digital Village, hari ini.
Program anjuran Fly Technology Agriculture Sdn. Bhd. (WormingUp) di bawah inisiatif eMpowering Youth Across ASEAN (eYAA): Kohort 6 itu menghimpunkan 11 guru dari Sarawak, 11 guru dari negara anggota ASEAN dan 11 Sukarelawan Belia ASEAN yang membentuk 11 pasukan inovasi antarabangsa.
Mengangkat tema ‘Teachers Innovate, ASEAN Elevates’, setiap pasukan membangunkan projek pendidikan berteraskan kelestarian, STEM, pembelajaran digital, inovasi dan pembangunan komuniti sebelum membentangkannya menerusi Teacher Innovation Challenge.
“Jadikan hubungan yang terjalin sepanjang ASEAN-GIC sebagai permulaan kepada kerjasama lebih besar antara sekolah, guru dan komuniti di seluruh ASEAN. Teruskan berkongsi idea dan membangunkan projek bersama,” ujar beliau.
ASEAN-GIC 2026 mendapat sokongan dan pembiayaan daripada ASEAN Foundation serta Maybank Foundation sebagai usaha memperkasa pendidik dan belia, di samping mengukuhkan kerjasama serantau.
Program itu turut mewujudkan jaringan kerjasama jangka panjang antara sekolah di Sarawak dan negara-negara ASEAN bagi menggalakkan perkongsian ilmu serta pelaksanaan inisiatif pendidikan inovatif yang berterusan.
Melalui kerjasama WormingUp, ASEAN Foundation, Maybank Foundation dan rakan strategik lain, ASEAN-GIC 2026 mencerminkan komitmen bersama untuk melahirkan ASEAN yang lebih inovatif, inklusif dan mampan dengan guru sebagai pemacu utama perubahan.
