Sekolah, universiti bekerjasma lahirkan bakat semikonduktor

KUCHING: Kerjasama antara pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) menjadi pendekatan baharu Sarawak melahirkan bakat industri semikonduktor menerusi SMD Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Make-a-thon 2026.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pendekatan itu diterjemahkan melalui pembentukan 15 pasukan yang menggabungkan dua pelajar sekolah menengah dan dua pelajar universiti bagi menyelesaikan cabaran reka bentuk litar bersepadu bertaraf industri.

“Model kerjasama tersebut bukan sahaja menggalakkan perkongsian ilmu dan pembelajaran rakan sebaya, malah memberi pendedahan awal kepada peserta terhadap budaya kerja profesional yang menuntut kerjasama rentas disiplin serta penyelesaian masalah sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan SMD Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Make-a-thon 2026 di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, hari ini.

Roland Sagah berkata, program itu menerima 634 penyertaan daripada 64 institusi di seluruh Sarawak, termasuk 575 pelajar sekolah menengah dan 59 pelajar IPT, sekali gus mencerminkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan generasi muda terhadap bidang semikonduktor.

Katanya, usaha itu selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat tempatan bagi memenuhi keperluan tenaga mahir dalam industri strategik seperti kecerdasan buatan (AI), aeroangkasa, teknologi satelit, tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan ekonomi digital.