Upacara naik Bendera Ibu Pertiwi berukuran 25 meter panjang penuh istiadat

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menaikkan Bendera Ibu Pertiwi edisi Julai 2026 hari ini, dengan penuh istiadat sempena sambutan Hari Sarawak di Dataran Ibu Pertiwi, Petra Jaya, di sini.

Upacara dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak itu dimulakan dengan pemeriksaan Pasukan Kawalan Kehormatan Setempat DBKU.

Ini diikuti nyanyian lagu kebesaran negeri Ibu Pertiwiku, bacaan doa dan acara menaikkan Bendera Ibu Pertiwi berukuran 25 meter (m) panjang dan 12.4m lebar pada tiang setinggi 99.4m.

Majlis turut diserikan persembahan Pancaragam dan Color Guard Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road serta persembahan lagu Pertiwiku Tercinta oleh Ermie Sanisha dan Azam Pitt.

Majlis disempurnakan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, dan turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman.

Menurut DBKU, penganjuran upacara itu diperkenalkan sejak Julai 2024 bertujuan menyemai semangat cintakan Sarawak, memperkukuh perpaduan serta memupuk rasa bangga terhadap simbol kebesaran Sarawak.

Selain itu, ia turut menjadi antara tarikan di bandar raya Kuching dan platform mengangkat Bendera Ibu Pertiwi sebagai lambang identiti, warisan serta kedaulatan Sarawak.