BEKENU: Karnival Rindok Ati N71 Bekenu 2026 berpotensi menjadi acara komuniti yang mampu menyemarakkan sektor pelancongan domestik.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini susulan program berkenaan berjaya menghimpunkan masyarakat, mempamerkan budaya tempatan, hasil kraf tangan, makanan tradisional, seni persembahan dan produk usahawan.
“Dengan cara ini, memperkenalkan identiti Sarawak kepada pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Rindok Ati Ati N71 Bekenu 2026, di Dewan Masyarakat Bekenu di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat serta tetamu kenamaan lain.
Abdul Karim sehubungan itu, meminta pengunjung karnival memanfaatkan sepenuhnya peluang sepanjang karnival untuk berkunjung ke setiap reruai, menyertai aktiviti yang disediakan dan memberikan sokongan kepada usahawan tempatan.
Selain itu, katanya karnival itu juga merupakan platform yang amat baik dalam menghimpunkan agensi kerajaan, usahawan, organisasi, persatuan, komuniti dan masyarakat di bawah satu bumbung.
Katanya melalui karnival ini, orang ramai berpeluang mendapatkan pelbagai maklumat, menikmati perkhidmatan secara terus, menyertai aktiviti kekeluargaan, menyokong usahawan tempatan serta mengeratkan hubungan dalam komuniti.
“Lebih penting lagi, program seperti ini membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau mahu melihat peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan daya saing, memperluaskan rangkaian perniagaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.
